RSS

Awas! Virus sombong penyebab penyakit hati yang kronik

21 Dec
Awas! Virus sombong penyebab penyakit hati yang kronik

Assalamualaikum.

Pengenalan


Kita sering kali mendengar perkataan sombong. Saya rasa semua orang tahu bahawa sombong ini salah satu sikap buruk yang harus dijauhi. Sombong menurut Kamus Dewan beerti menghargai diri secara berlebihan serta meninggikan diri dan angkuh. Pada istilah pula ia lebih difahami sebagai merasakan diri lebih baik daripada orang lain.

Antara definisi sombong oleh beberapa tokoh Ilmuwan Islam:

  • Al-Hafizh Ibnu Rajab Al-Hambali rahimahullah berkata, “Orang yang sombong adalah orang yang memandang dirinya sempurna segala-galanya, dia memandang orang lain rendah, meremehkannya dan menganggap orang lain itu tidak pantas mengerjakan suatu urusan, dia juga sombong menerima kebenaran dari orang lain”. (Jami’ul Ulum Wal Hikam 2/275)
  • Raghib Al-Asfahani rahimahullah berkata, “Sombong adalah keadaan/kondisi seseorang yang merasa bangga dengan dirinya sendiri, memandang dirinya lebih utama dari orang lain, kesombongan yang paling parah adalah sombong kepada Rabbnya dengan cara menolak kebenaran (dari-Nya) dan angkuh untuk tunduk kepada-Nya baik berupa ketaatan maupun dalam mentauhidkan-Nya.” (Umdatul Qari` 22/140). 

Salah satu nama Allah yang indah, atau lebih dikenali sebagai Asma’ Ul-Husna, ialah Al-Mutakabir yang beerti Yang Mempunyai Segala Kekuasaan, Kebesaran dan Kesombongan. Walaubagaimanapun, sifat Allah berbeza dengan sifat makhluknya. Sombongnya adalah berbeza daripada sombong manusia.

Punca penyakit sombong

Setiap penyakit mesti berpunca daripada sesuatu. Begitulah jua berkenaan dengan penyakit sombong. Penyakit ini berasal daripada berbagai-bagai punca. Diminta para pembaca sekalian cuba mengelakkan diri daripada perkara ini.

  • Mempunyai kuasa – Seseorang yang mempunyai kuasa akan diuji oleh Allah SWT dengan perasaan sombong. Mereka berasa merekalah raja di dunia ini. Tiada sesiapa yang lebih berkuasa daripada mereka. Mereka tidak sedar betapa besarnya kuasa mereka, masih ada yang lebih besar kuasanya berbanding mereka, iaitu Allah Azza Wa Jalla. Punca penyakit sombong ini bukan hanya menjangkiti Raja atau menteri-menteri sahaja, bahkan sesiapa sahaja yang mempunyai kuasa seperti guru, pengawas sekolah, dan ketua dalam sesuatu kumpulan/organisasi.
  • Mempunyai Ilmu – Seseorang yang berilmu juga akan diuji oleh Allah SWT. Mereka merasakan lebih pandai daripada orang lain, dan lupa bahawa Allah itu bersifat al-Hakim dan al-A’lim. Mereka akan memandang rendah kepada orang yang kurang pandai daripada mereka. Lebih teruk lagi, ada yang hingga berkata ‘kau bodoh, tak layak nak kawan dengan kami’.  Rasulullah SAW pernah bersabda:

من تعلم علما مما يبتغى به وجه الله لا يتعلمه إلا ليصيب به عرضا من الدنيا لم يجد عرف الجنة يوم القيامة (أحمد ، وأبو داود ، وابن ماجه ، والحاكم ، والبيهقى فى شعب الإيمان عن أبى هريرة

Seharusnya seseorang yang mempelajari sesuatu ilmu adalah untuk mendapat keredaan Allah, namun jika dia mempelajarinya adalah kerana untuk memperoleh kesenangan dunia, maka dia tidak akan mencium bau syurga pada Hari Kiamat – Riwayat Ahmad, Ibn Majah, Al-Hakim, Al-Baihaqi – Dinilai sahih oleh Dr Maher alFahl, tahqiq Riadhus Solihin dan al-Albani dalam sahih Abu Daud

  • Mempunyai harta – Harta itu merupakan ujian terhadap hamba Allah. Alla ingin melihat ketaqwaan kita dengan menguji keimanan. Harta yang banyak boleh mendorong orang menjadi sombong.
  • Keturunan – Faktor keturunan juga punca penyakit sombong. Bukan maksud saya penyakit ini diwarisi kerana baka, tetapi seseorang bangga(yang melebihi batas) terhadap keturunan sendiri yang mempunyai kelebihan yang tidak dipunyai oleh keturunan lain seperti golongan bangsawan. Faktor keturunan ini sudah lama berlaku dalam kaum Bani Israel, di mana mereka mengatakan keturunan mereka keturunan terpilih kerana banyak nabi diutuskan dalam kaum mereka. Allah SWT berfirman dalam surah Isra’ ayat 4

Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: “Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau.

Rasulullah juga pernah bersabda:

Tiada kelebihan orang arab ke atas a’jam (yang bukan arab), atau a’jam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan – Hadith riwayat Muslim, Ahmad dan Baihaqi.

  • Tiada keistimewaan – Saya tidak mampu untuk ulas panjang lebar punca ini. Ada juga antara mereka yang tiada keistimewaan seperti tiada kuasa, tiada harta, dan kurang ilmu bersikap sombong. Orang sebegini amat sukar difahami. Inilah orang katakan ‘bodoh sombong’.
  • Selain daripada di atas – Masih ada punca penyakit sombong ini yang tidak saya sertakan kerana kecetakan ilmu saya.

Simpton-simpton penyakit sombong:

Jika anda mendapati simpton-simpton penyakit sombong di bawah ini, anda dinasihati supaya lihat bahagian Vaksin untuk Penyakit Sombong.

  • Sukar menerima pendapat orang lain – Sesetengah orang amat sukar untuk menerima pendapat orang lain walaupun mereka tahu bahawa pendapat yang lain lebih baik daripadanya. Tetapi, kerana sombong, mereka tetap mempertahankan pendapat mereka. Simpton ini banyak didapati dalam kalangan ahli agama yang taksub mazhab dan ulama’, kadang-kadang ada juga di dalam manhaj Salaf.
  • Mudah marah – Sombong akan menyebabkan seseorang yang menghidapnya lebih mudah untuk marah apabila seseorang berbuat kesilapan. Mereka merasakan mereka tidak pernah berbuat silap, kerana itulah mereka memarahi orang yang berbuat silap.
  • Memilih kawan – Sepanjang pemerhatian saya, simpton ini sering kali dilihat dalam kalangan wanita. Mereka hanya memilih kawan yang sama ‘class’ dengan mereka. Mereka juga memilih kawan yang hanya ada kepentingan untuk diri mereka sahaja. Mereka bimbang jika bergaul dengan orang ‘low class’, maruah mereka akan jatuh.
  • Zalim terhadap orang bawahan – Simpton ini dapat dilihat pada seseorang pemerintah. Pemerintah tersebut akan mengarah orang bawahannya tanpa berperikemanusiaan.
  • Sukar untuk meminta maaf dan memaafkan – Seseorang yang mempunyai simpton ini biasanya beralasan ‘kalau aku minta maaf/ maafkan dia, jatuhla standard aku’. Sebenarnya tidak ada kerugian apa-apa untuk memaafkan/minta maaf, bahkan dijanji ganjaran syurga berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 133~134:

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.

  • Selain daripada di atas – Sekali lagi saya memohon maaf atas kecetekan ilmu saya kerana saya tidak dapat menyertakan selain daripada di atas.

Vaksin untuk Penyakit Sombong

Setiap penyakit ada ubatnya kecuali mati. Sombong merupakan salah satu penyakit hati. Lihat di bawah untuk senarai-senarai vaksin:

  • Banyakkan berdoa – Berdoalah kepada-Nya supaya kita dihindari daripada penyakit sombong ini. Sesungguhnya DIA telah berjanji dalam Surah al-Ghafir ayat 60:

Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.

  • Mengingati asal-usul kejadian kita – Sedarilah bahawa kita(manusia) dijadikan sama sahaja, iaitu tanah. Tanah yang kita pijak hari ini, itulah kita. Berdasarkan firman Allah dalam surah al-Rahman, ayat 14:

Ia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar

Allah juga berfirman dalam surah as-Sajadah ayat 7 hingga 8:

Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah;

Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang(hina);

  • Sentiasa mengingati kesan sombong – Lihat bahagian kesan dan ancaman kepada penghidap penyakit sombong
  • Sentiasa muhasabah diri – Sentiasa muhasabah diri, insaf dengan kelemahan diri. Secara automatiknya kita akan sedar bahawa kita tidak berhak untuk sombong lantaran dengan kelemahan diri, dan akan cuba membaiki kelemahan diri.
  • Sentiasa membaca al-Quran – al-Quran itu diturunkan sebagai rahmat dan penawar sebgaimana firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 82:

Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.

  • Membuat kerja yang boleh mengikis perasaan sombong – Antaranya ialah dengan membasuh berak anak-anak, menyapu sampah, melawat rumah orang tua/anak yatim, menjadi peramah kepada sesiapa sahaja.

Kesan dan ancaman kepada penghidap penyakit sombong

Setiap penyakit mempunyai kesan terhadap diri sahaja biasanya, tetapi penyakit sombong ini amat berbahaya kerana akan mengganggu orang persekitaran. Penyakit sombong ini bukan sahaja boleh menjadi punca kematian(kerana dibunuh oleh orang yang membencinya), malah akan diseksa dalam neraka. Na’udzubillah.

Kesan di bumi(ketika hidup)

  • Dibenci oleh masyarakat
  • Hidup tidak bahagia
  • Mudah marah
  • Punca kematian sebagaimana saya sebutkan tadi
  • Mudah berdendam, iri hati dan dengki kepada orang yang lebih bagus daripada mereka.
  • Pintu hati dikuci berdasarkan firman-NYA dalam surah al-Mu’min(juga dikenali Surah Ghafir) ayat 35

“(Iaitu) orang-orang yang membantah mengenai maksud ayat-ayat Allah dengan tidak ada sebarang bukti yang sampai kepada mereka (dari pihak yang diakui benarnya). (Bantahan yang demikian) besar kebenciannya dan kemurkaannya di sisi hukum Allah dan di sisi bawaan orang-orang yang beriman. Demikianlah Allah meteraikan atas hati tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi bermaharajalela pencerobohannya!”

Imam Asy-Syaukani rahimahullah berkata, “Sebagaimana Allah mengunci mati hati orang yang memperdebatkan ayat-ayat Allah maka demikian juga halnya Allah juga mengunci mati hati orang yang sombong lagi berbuat semena-mena, yang demikian itu karena hati merupakan sumber pangkal kesombongan, sedangkan anggota tubuh hanya tunduk dan patuh mengikuti hati”. (Fathul Qodir 4/492). 

Kesan di Akhirat

Kesan di akhirat tidak lain tidak bukan diberi ancaman neraka Allah. Sebagaimana yang berlaku terhadap Qarun, Firaun, Namrud, Hamman dan tokoh-tokoh yang popular dengan kesombongannya yang dijanji seksaan dalam neraka oleh Allah. Ancaman neraka terhadap penghidap penyakit sombong ini boleh didapati dalam Hadith Nabi SAW dan firman-firman-NYA,  sebagai contoh:

  • Rasulullah SAW dalam riwayat Muslim, maksudnya:

Tidak akan masuk syurga seseorang yang dalam hatinya ada sikap takbur(sombong) walaupun sebesar debu.

Imam An-Nawawi rahimahullah berkomentar tentang hadits ini, “Hadits ini berisi larangan dari sifat sombong yaitu menyombongkan diri kepada manusia, merendahkan mereka dan menolak kebenaran”. (Syarah Shahih Muslim 2/269).
  • Dalam surah Az-Zummar ayat 72, Allah SWT berfirman:
(Setelah itu) dikatakan kepada mereka: “Masukilah pintu-pintu neraka Jahannam itu dengan keadaan tinggal kekal kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur ialah neraka Jahannam.
Penutup
Penyakit sombong ini amat berbahaya. Penyakit ini bukan sahaja mengancam orang yang menghidapnya, malah orang-orang yang berada sekitar dengan mereka. Dengan beberapa tips, terutamanya berdoa supaya dijauhi penyakit ini, merupakan salah satu vaksin untuk membunuh virus ini. Penghidapnya tidak akan bahagia di dunia dan di akhirat.
————————————————————————————————————————————————————————–
Beberapa isi dipetik daripada:
Advertisements
 
Leave a comment

Posted by on December 21, 2010 in Featured, Perihal Keagamaan

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: